Latar belakang Prahara Seni Abadi

Prahara Seni Abadi ialah album kompilasi oleh M. Nasir yang memuatkan 13 lagu yang mana dua daripadanya ialah lagu yang tidak pernah dikeluarkan, iaitu "Walid" dan "Dalam" yang merupakan hasil nukilan Brad Parker dengan lirik ditulis oleh M. Nasir. Lima lagi lagu yang dimuatkan dalam album ini dipetik dari album Canggung Mendonan, dua dari album S.O.L.O, dua dari album Akar Manifestasi Akustika, satu dari album Saudagar Mimpi dan satu lagi dari album Srikandi Cintaku.

Album ini memuatkan maklumat yang memperincikan kehidupan dan kerjaya M. Nasir serta menampilkan petikan daripada rakan artis, penggiat seni dan pengamal media serta sasterawan yang meluahkan pendapat mereka mengenai beliau menerusi segmen Retrospektif yang disediakan oleh wartawan hiburan Harian Metro ketika itu, Saniboey Mohd Ismail. Kulit albumnya direkabentuk oleh Tapa. Prahara Seni Abadi dikeluarkan pada Julai 2001, iaitu sebulan selepas pelancaran album Phoenix Bangkit. Album ini juga diterbitkan bagi mempromosikan rancangan dokumentari Prahara Seni M. Nasir terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).[1]